Recent update

Subscribe to RSS feed

Just Be Yourself

May 12th, 2008 by alonganis

Salam dihulur pembuka bicara kepada semua penggiat blogger sekalian yang pernah meluangkan masa singgah di halaman blogku ini. Tak lupa juga buat sahabat-sahabat yang tak jemu-jemu mengharapkan agar ruangan blogku ini sentiasa dikemas kini, salam kemaafan kuhulurkan kerana sesungguhnya sehingga tika ini, aku masih tidak mampu untuk mengistiqamahkan diri untuk mengemas kini ruangan blogku ini. Kepada Musyira, Nik dan Hidayah yang pernah menjengah ke blogku dan mengharapkan jawapan dan penjelasan tentang beberapa perkara, jutaan ampun dan maaf kupohon kerana persoalan kalian baru ku baca pada tanggal 12 Mei 2008. Itu pun setelah terdetik untuk menjengah sebentar halaman blog yang telah lama ditinggalkan sepi tanpa sebarang coretan dan setelah mendapat rungutan dari Kak Fique (teman sepejabat) yang sering mengingatkanku agar membuat coretan baru.

Untuk Musyira, Nik dan Hidayah, rasanya saya bukanlah orang yang tepat untuk kalian merujuk persoalan tentang PTD, PAC dan sebagainya, Saya hanyalah seorang penjawat awam junior yang masih mentah dan cetek pengalaman. Namun, apa yang saya coretkan dalam halaman blog ini yang berkaitan dengan PTD/PAC hanyalah berdasarkan secebis pengalaman yang ditempuh sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Untuk berkongsi tips, saya sendiri tidak tahu apa tips yang patut diberikan. Saya sendiri menyertai perkhidmatan PTD tanpa mengetahui dengan terperinci apa itu PTD sebenarnya. Saya sendiri masih kurang percaya yang saya kini telah berjaya mengharungi ketiga-tiga peringkat ujian untuk menjawat jawatan yang sering dikatakan elit ini. Namun, percayalah, tiada apa yang elit menjadi seorang PTD. Sebaliknya, saya sering bermuhasabah sendiri apakah selama dua tahun berkhidmat ini saya telah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sejujurnya, apakah setiap pekerjaan yang saya lakukan ini dikira sebagai ibadah di sisi Nya dan yang lebih penting, adakah rezeki yang saya dapat selama ini diberkati dan diredhai Allah?

Bagi calon-calon yang akan menduduki sesi PAC (PTD Assessment Center), cuma satu yang ingin saya kongsi di sini, tonjolkan personaliti anda yang asli. Jangan sekali-kali cuba untuk tonjolkan personaliti yang terlalu hebat sedangkan hakikatnya kita tidak begitu hebat. Biar kita nampak sederhana asalkan niat kita ikhlas. Biarlah apa jua yang kita cuba tampilkan atau persembahkan datangnya dari naluri dan peribadi kita sendiri. Yakin dengan idea yang kita curahkan dan bercakap apa yang kita tahu. Jangan terlalu ingin menunjukkan yang kita tahu sedangkan hakikatnya banyak yang kita tidak tahu. Saya kurang ingat/arif tentang persoalan memakai tudung ketika PAC. Seingat saya tidak pula timbul isu di mana calon-calon yang tidak bertudung perlu memakai tudung ketika PAC. Macam yang telah saya katakan tadi, tampilkan imej diri kita seikhlasnya. Jangan jadikan pihak tertentu sebagai titik tolak untuk bertudung atau berubah laku semata-mata untuk memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagi saya, isu bertudung ini merupakan suatu kewajipan sebagai seorang Muslimah. Daripada pemerhatian saya, kini, kita tidak boleh menilai seorang wanita dengan hanya tudung yang dipakai. Walaupun saya seorang yang bertudung dan dididik untuk bertudung sejak kecil, saya tidak sekali-kali meletakkan tanggapan yang buruk kepada golongan yang tidak bertudung. Bagi saya, kesedaran untuk bertudung seharusnya muncul dari diri sendiri dan bukannya atas suruhan atau permintaan sesiapa. Ini penting bagi menjamin keikhlasan kita dalam mematuhi syarat sebagai seorang Muslimah. Tidak perlu kita berubah untuk orang lain kalau kita tidak ikhlas dengan perubahan yang dibuat. Biarlah perubahan itu datang sejajar dengan kehendak hati dan keikhlasan kita sendiri. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk berubah ke arah kebaikan dan bukannya berubah untuk memenuhi kehendak orang lain. Yang penting, kita mesti berazam untuk berubah kerana ALLAH.

Saya berharap penjelasan saya berhubung isu yang dibangkitkan sedikit-sebanyak menjawab persoalan yang dikemukakan. Namun, apa yang saya coretkan bukanlah tepat dan layak dijadikan panduan 100% kerana saya bukanlah seorang yang arif. Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang ada. Jika ada yang baik, jadikanlah tauladan dan jika ada yang salah, maaf dipohon ampun dipinta.

Posted in Comments Review | | | 0 Comments

Categories

Archives

Meta