Recent update

Subscribe to RSS feed

Bicaraku yang telah lama menyepi…

March 14th, 2009 by alonganis

Assalamualaikum, salam ukhuwah pembuka bicara…

Sabtu / 17 Rabiulawal 1430H / 14 Mac 2009

Lama betul aku terus-terusan membiarkan blog ni tidak terusik walau dengan sepatah perkataan pun. Aku sendiri dah lupa bila kali terakhir blog ni aktif dengan cetusan idea mencoret catatan peribadi, berkongsi bahan ilmiah dan tazkirah untuk tatapan buat yang sudi…

Ternyata memang benar bicara alim ulama’ bahawa dunia kini sudah hampir ke penamatnya. Masa terasa begitu cepat sekali berlalu hinggakan kadang-kadang aku sendiri tidak menyedari banyak perubahan yang telah berlaku dalam kamus hidupku kini.

Rasanya, aku belum sempat mencoret catatan peribadi atau berkongsi cerita tentang pengalaman setelah hidup bergelar isteri, tentang pengalaman kerja di pejabat yang baru dan juga perubahan dalam tanggungjawab sebagai seorang isteri, wanita yang berkerjaya serta hamba kepada-Nya. Terasa berat benar tanggungjawab yang dipikul kini apatah lagi dengan angerah rezeki untuk bakal bergelar Ummi @ Ibu tidak lama lagi. Terfikir sendiri apakah aku mampu untuk menjadi yang terbaik dan dapat memikul untuk semua tanggungjawab yang telah dan bakal diamanahkan tersebut? Persoalan ini akan terus bermain di ruangan minda dan hati untuk aku terus bermuhasabah diri. Namun, yang pasti, aku amat mengharapkan secebis kekuatan, bantuan dan dorongan dari Al-Khaliq agar aku bisa melaksanakan semua amanah tersebut dengan sebaik mungkin.

Hari ni, keadaan cuaca di Putrajaya dilimpahi hujan rahmat sejak sebelum Subuh. Walaupun hujan yang turun tidak terus-menerus, namun tetap terasa kedinginannya. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan aku terpanggil untuk kembali mencoret di ruangan blog ni. Mungkin kala ini, hati dan perasaan kurang tenang setelah terpaksa berseorangan untuk seminggu lamanya. Apa yang pasti, berangkatnya suamiku ke Dubai atas urusan kerja pagi tadi benar-benar membuatkan aku sunyi dan seolah-olah hilang kekuatan. Entah mengapa, air mata seakan terlalu murah di kala keseorangan begini. Biarpun belum sampai 24 jam, terasa lain benar bila ditinggalkan berjauhan. Biasanya aku yang keluar meninggalkan suamiku keseorangan di rumah dan terasa juga sedihnya. Namun, bila tiba giliran aku yang ditinggalkan, nampaknya aku lebih beremosi. Perasaan sedih meninggalkan dengan ditinggalkan ternyata tak sama. Mungkin sebab jarak perjalanan yang terlalu jauh membuatkan aku lebih sensitif atau sememangnya wanita yang mengandung lebih sensitif daripada biasa? Hmm…mungkin ada logiknya. Aku agak sensitif sejak kebelakangan ni. Huhuhu…apa pun, tak sabar rasanya nak menjemput kepulangan suamiku Jumaat ini dan meneruskan perancangan untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang terpaksa ditunda disebabkan perjalanannya ke Dubai ini.

Aku harus kuat melawan perasaan dan mungkin inilah salah satu agenda musuh utama manusia dalam menggoda umat Nabi Adam. Semoga perjalanan pergi dan pulang suamiku dalam lindungan Allah selalu dan semoga Allah memudahkan segala urusan dan pekerjaannya di sana.

Amiin….

Cheer up Anis…!! Dan semoga kembalinya catatan ini membuatkan aku lebih bersemangat untuk terus aktif dalam coretan blog ini lagi. Buat Kak Fique, at last, I hope U can smile while reading at this updated!! Hehehe…. Insya Allah, kesedihan berjauhan mungkin akan mencetuskan lebih banyak idea untuk mencoret sesuatu…

Posted in ~ Corat-Coret ~ | | | 1 Comments

Just Be Yourself

May 12th, 2008 by alonganis

Salam dihulur pembuka bicara kepada semua penggiat blogger sekalian yang pernah meluangkan masa singgah di halaman blogku ini. Tak lupa juga buat sahabat-sahabat yang tak jemu-jemu mengharapkan agar ruangan blogku ini sentiasa dikemas kini, salam kemaafan kuhulurkan kerana sesungguhnya sehingga tika ini, aku masih tidak mampu untuk mengistiqamahkan diri untuk mengemas kini ruangan blogku ini. Kepada Musyira, Nik dan Hidayah yang pernah menjengah ke blogku dan mengharapkan jawapan dan penjelasan tentang beberapa perkara, jutaan ampun dan maaf kupohon kerana persoalan kalian baru ku baca pada tanggal 12 Mei 2008. Itu pun setelah terdetik untuk menjengah sebentar halaman blog yang telah lama ditinggalkan sepi tanpa sebarang coretan dan setelah mendapat rungutan dari Kak Fique (teman sepejabat) yang sering mengingatkanku agar membuat coretan baru.

Untuk Musyira, Nik dan Hidayah, rasanya saya bukanlah orang yang tepat untuk kalian merujuk persoalan tentang PTD, PAC dan sebagainya, Saya hanyalah seorang penjawat awam junior yang masih mentah dan cetek pengalaman. Namun, apa yang saya coretkan dalam halaman blog ini yang berkaitan dengan PTD/PAC hanyalah berdasarkan secebis pengalaman yang ditempuh sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Untuk berkongsi tips, saya sendiri tidak tahu apa tips yang patut diberikan. Saya sendiri menyertai perkhidmatan PTD tanpa mengetahui dengan terperinci apa itu PTD sebenarnya. Saya sendiri masih kurang percaya yang saya kini telah berjaya mengharungi ketiga-tiga peringkat ujian untuk menjawat jawatan yang sering dikatakan elit ini. Namun, percayalah, tiada apa yang elit menjadi seorang PTD. Sebaliknya, saya sering bermuhasabah sendiri apakah selama dua tahun berkhidmat ini saya telah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sejujurnya, apakah setiap pekerjaan yang saya lakukan ini dikira sebagai ibadah di sisi Nya dan yang lebih penting, adakah rezeki yang saya dapat selama ini diberkati dan diredhai Allah?

Bagi calon-calon yang akan menduduki sesi PAC (PTD Assessment Center), cuma satu yang ingin saya kongsi di sini, tonjolkan personaliti anda yang asli. Jangan sekali-kali cuba untuk tonjolkan personaliti yang terlalu hebat sedangkan hakikatnya kita tidak begitu hebat. Biar kita nampak sederhana asalkan niat kita ikhlas. Biarlah apa jua yang kita cuba tampilkan atau persembahkan datangnya dari naluri dan peribadi kita sendiri. Yakin dengan idea yang kita curahkan dan bercakap apa yang kita tahu. Jangan terlalu ingin menunjukkan yang kita tahu sedangkan hakikatnya banyak yang kita tidak tahu. Saya kurang ingat/arif tentang persoalan memakai tudung ketika PAC. Seingat saya tidak pula timbul isu di mana calon-calon yang tidak bertudung perlu memakai tudung ketika PAC. Macam yang telah saya katakan tadi, tampilkan imej diri kita seikhlasnya. Jangan jadikan pihak tertentu sebagai titik tolak untuk bertudung atau berubah laku semata-mata untuk memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagi saya, isu bertudung ini merupakan suatu kewajipan sebagai seorang Muslimah. Daripada pemerhatian saya, kini, kita tidak boleh menilai seorang wanita dengan hanya tudung yang dipakai. Walaupun saya seorang yang bertudung dan dididik untuk bertudung sejak kecil, saya tidak sekali-kali meletakkan tanggapan yang buruk kepada golongan yang tidak bertudung. Bagi saya, kesedaran untuk bertudung seharusnya muncul dari diri sendiri dan bukannya atas suruhan atau permintaan sesiapa. Ini penting bagi menjamin keikhlasan kita dalam mematuhi syarat sebagai seorang Muslimah. Tidak perlu kita berubah untuk orang lain kalau kita tidak ikhlas dengan perubahan yang dibuat. Biarlah perubahan itu datang sejajar dengan kehendak hati dan keikhlasan kita sendiri. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk berubah ke arah kebaikan dan bukannya berubah untuk memenuhi kehendak orang lain. Yang penting, kita mesti berazam untuk berubah kerana ALLAH.

Saya berharap penjelasan saya berhubung isu yang dibangkitkan sedikit-sebanyak menjawab persoalan yang dikemukakan. Namun, apa yang saya coretkan bukanlah tepat dan layak dijadikan panduan 100% kerana saya bukanlah seorang yang arif. Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang ada. Jika ada yang baik, jadikanlah tauladan dan jika ada yang salah, maaf dipohon ampun dipinta.

Posted in Comments Review | | | 0 Comments

Pembukaan Tirai 2008 dan 1429H

January 4th, 2008 by alonganis

4 Januari 2008 / 25 Zulhijjah 1428H

Alhamdulillah…lembaran baru kembali lagi…
4 hari yang lalu, tirai 2007 telah pun berlabuh dengan menyingkap pelbagai kenangan suka duka, pahit manis yang pastinya akan terus diinsafi dan diingati…dan yang pasti, 6 hari lagi, akan berlalu setahun lagi perjalanan tahun hijrah dalam perkiraan kalendar Islam.

Menyorot kembali perjalanan setahun yang lalu, banyak yang telah kutempuhi…
Ada tikanya, terlalu pahit untuk ku telan, tak kurang juga pelbagai peristiwa manis yang sentiasa kukenang.
Pendek kata, alhamdulillah sehingga hari ini, kusyukuri akan segala nikmat yang telah dikurniakan Nya.

Lama betul rasanya masa yang terpaksa diambil untuk menatap kembali halaman blog ini…Kadang-kadang tercabar jugak rasanya keinginan untuk mecuri masa melarikan jari-jemari di atas kekunci keyboad untuk mencoret peristiwa yang terjadi. Tidak kurang juga sokongan daripada beberapa pihak yang sering menegur minta dikemaskini halaman blog yang tidak seberapa ini. Namun, hakikatnya kuamat merindui masa yang telah berlalu di mana aku bisa sebebas-bebasnya mencoret apa yang terdetik di hati. Kesuntukan masa dengan timbunan kerja yang sering mengahntui diri membuatkan aku terlalu berkira dengan peruntukan masa sendiri. Justeru, terpaksa kubiarkan ruangan ini berlapuk tanpa secebis perhatian dari empunya diri.

Namun, di kesempatan yang telah ku luangkan ini, ingin ku ungkaikan secebis harapan. Doaku untuk sepanjang tahun baru ini…

Biarlah apa jua yang bakal kutempuhi dalam setahun yang mendatang sentiasa dirahmati, diberkati dan dipayungi kasih Allah…
Berikan aku lebih kekuatan, keinsafan, ketenangan, kemudahan dalam menunaikan amanah yang telah Kau pikulkan di bahu ku ini…
Jadikan aku sebagai salah seorang hamba Mu yang sentiasa taat di atas landasan Mu, merendah diri di atas anugerah Mu, bersyukur di atas nikmat Mu, bertenang di atas segala ujian Mu, bermanfaat untuk Ummat Mu, berjuang untuk agama Mu…
J
adikan aku sebagai pendamping yang setia, penyayang, sabar dan taat kepada yang hak, yang bakal mendidikku dan membentuk peribadiku setelah ibu dan ayahku…Amiin…

Selamat Tahun Baru 2008 & Ahlan Wasahlan 1429H…

Posted in Uncategorized | | | 1 Comments

“Life Is Wonderful”

August 8th, 2007 by alonganis

"Life Is Wonderful" - Jason Mraz

It takes a crane to build a crane
It takes two floors to make a story
It takes an egg to make a hen
It takes a hen to make an egg
There is no end to what I’m saying

It takes a thought to make a word
And it takes some words to make an action
It takes some work to make it work
It takes some good to make it hurt
It takes some bad for satisfaction

La la la la la la la life is wonderful
Ah la la la la la la life goes full circle
Ah la la la la la la life is wonderful
Al la la la la

It takes a night to make it dawn
And it takes a day to make you yawn brother
And it takes some old to make you young
It takes some cold to know the sun
It takes the one to have the other

And it takes no time to fall in love
But it takes you years to know what love is
It takes some fears to make you trust
It takes those tears to make it rust
It takes the dust to have it polished

Ha la la la la la la life is wonderful
Ah la la la la la la life goes full circle
Ah la la la la la la life is so full of
Ah la la la la la la life is so rough
Ah la la la la la la life is wonderful
Ah la la la la la la life goes full circle
Ah la la la la la la life is our love
Ah la la la la la

It takes some silence to make sound
It takes a loss before you found it
And it takes a road to go nowhere
It takes a toll to make you care
It takes a hole to make a mountain

Ah la la la la la la life is wonderful
Ah la la la la la la life goes full circle
Ha la la la la la life is wonderful
Ha la la la la la life is meaningful
Ha la la la la la life is wonderful
Ha la la la la la life it is…so… wonderful
It is so meaningful
It is so wonderful
It is meaningful
It is wonderful
It is meaningful
It goes full circle
Wonderful
Meaningful
Full circle
Wonderful

p/s: I enjoy this song so much coz the words are so meaningful…Go deeply to what it’s gonna tell abt…LIFE IS WONDERFUL!!!

Posted in Songs n Lyrics | | | 0 Comments

April 10th, 2007 by alonganis

10 April 2007 / 22 Rabiul Awal 1428 (21:30)

Entah mengapa hari ini aku terpanggil untuk mencoretkan sesuatu yang tiba-tiba terlintas di fikiran. Mungkin faktor sekeliling yang membuatkan aku tersentak dengan realiti hidup dalam usia yang semakin meningkat…

Coretan Banat Khuwailid bertajuk "preparing myself to be a good wife" - http://banatbest.blogs.friendster.com/my_blog/ benar-benar membuatkan aku turut berfikir tentang kehidupan yang bakal aku tempuhi suatu hari nanti. Walaupun belum pasti bilakah masanya namun naluri seorang perempuan pastinya mengharapkan sebuah kehidupan apabila bergelar isteri kepada seorang suami…

Dalam kesibukan tugasan di pejabat yang kadang kala memerlukan aku untuk bertugas sehingga malam membuatkan aku terfikir apakah mampu untuk aku berkhidmat sebagai seorang isteri yang terbaik buat seseorang yang ditakdirkan untukku. Tidak kunafikan kepenatan bila terpaksa bekerja lebih masa tanpa sebarang kelayakan untuk membuat elaun tuntutan bekerja lebih masa. Namun, apabila memikirkan beban amanah dan tanggungjawab yang telah terpikul, aku pasrah. Aku ketepikan kehidupan peribadi buat sementara waktu. Prinsip yang aku pegang, selagi aku masih belum memegang status seorang isteri, aku akan memikul tanggungjawab sebagai seorang penjawat yang penuh berintegriti dan berdedikasi. Namun, setelah masanya tiba, dan ditakdirkan aku mempunyai tanggungjawab sebagai seorang isteri, akan kucuba untuk menjadi yang terbaik untuknya. Pada tika itu, keluarga adalah keutamaan bagiku. Namun, apakah situasi mampu difahami oleh seorang insan yang bergelar suami? Wallahua’lam…

Bila terfikirkan persoalan tersebut, kurasakan aku belum mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Aku takut sekiranya aku belum mampu memberikan khidmat yang terbaik untuknya. Namun, sekalung penghormatan aku tujukan buat sahabat-sahabat yang telah menempuh alam rumahtangga tersebut. Justeru, aku perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu dan kekuatan agar diberi ketabahan dan kesenangan dalam menempuh kehidupan berumahtangga andainya ditakdirkan masanya telah tiba…

Buat para isteri - berkhidmatlah untuk suami dan keluarga dengan hati yang redha dan tekad untuk memberikan segala-galanya yang terbaik…

Buat para suami - hargai pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang insan bergelar isteri…

Posted in Uncategorized | | | 3 Comments

Here I Go Again!

March 26th, 2007 by alonganis

26 Mac 2007 / 7 Rabiul Awal 1428

Dah lama juga aku tak menulis kat blog ni…Rasanya dah setahun lebih…Mungkin masa kurang mengizinkan untuk aku terus mencoret idea dalam blog ni…Kadang² bila dah ada masa, internet pula problem…

Banyak juga perubahan yang dah aku lalui dalam tempoh lebih setahun ni…. Pertama sekali tentulah dari segi bidang kerja…Aku dah tak involve dalam kerja² yang melibatkan komputer lagi…Bila fikir² balik, sayang juga tinggalkan dunia coding, programming dsb…Tapi apa nak buat…Rezeki aku lebih dalam bidang management agaknya…Sementelah pula bidang tugas aku sekarang banyak melibatkan urusan yang berkaitan dengan law…Law?? Mesti ada yang hairan apa bendalah yang aku buat sekarang ni kan?? Hehehe…actually aku sekarang memantau, mengendalikan dan menguruskan semua hal² yang berkaitan dengan tatatertib pensyarah, pegawai dan staf. Pening betul apabila berhadapan dengan prima facie kes, pertuduhan kes dan pelbagai prosedur lain dalam urusan tatatertib pegawai awam dan pegawai pendidikan ni. Bayangkan nak cover semua kes di kementerian, 20 buah IPTA, 21 buah Politeknik dan 34 buah Kolej Komuniti yang melibatkan 2 skim yang berbeza…Itu belum kira surat aduan dan surat layang…Semuanya nak kena kaji…Namun, aku sentiasa positifkan diri…mungkin ini peluang untuk aku kayakan diri dengan ilmu. Sampai sekarang pun aku masih belajar dengan Penasihat Undang-Undang tentang cara nak buat pertuduhan kes…menarik!!!

Dalam setahun ni juga, aku dah berjaya mengharungi dan menghabiskan sesi kursus Diploma Pengurusan Awam selama 6 bulan bermula 10 Julai 2006 – 5 Januari 2007 yang lalu…Enam bulan tak buat kerja ofis…Bila lapor diri semula di Kementerian 8 Januari lalu, aku sedikit blur…Anyway, aku enjoy sepanjang 6 bulan berkursus bersama² rakan² PTD 2/2005 yang memang sentiasa supportive and caring…Thanx a lot to all PTD batch 2/2005 especially ex-sidang B. Di sini, ingin aku imbau kembali pengalaman yang cukup berharga sepanjang 6 bulan di INTAN…

Kenangan bersama dengan Platun 3 (Platun Gagak) semasa Modul Disiplin & Ketahanan Diri : Tentera di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Johor (30/07/06 – 05/08/06) cukup menaikkan semangat untuk bertempur dengan kekuatan fizikal & mental individu. Peluang menggunakan senjata M16 dengan peluru hidup semasa ujian menembak dan juga peluru kapur semasa aktiviti ambush di tengah malam dalam hutan betul² mencabar diri. Ditambah pula dengan ekspedisi mendaki Gunung Lambak, battle inoculation yang memerlukan semangat setia kawan yang tinggi…

Berhadapan dengan ombak dan angin di laut semasa Modul Outward Bound School di Outward Bound Malaysia, Lumut (13/08/06 – 19/08/06) betul² menginsafkan aku akan kebesaran Dia Yang Satu…Pengalaman berkayak yang tak sempat sampai ke destinasi disebabkan angin kencang mengelilingi Pulau Pangkor dan berwhaler ke Pualu Rumbia walaupun terpaksa ditunda disebabkan cuaca buruk tetap menyeronokkan walaupun baru aku tahu rupanya aku mabuk laut… But one thing I realize, I love the OB spirit!!!

Cabaran diteruskan lagi dengan pengalaman menjadi anggota PDRM selama seminggu (20/08/06 – 26/08/06) di Maktab PDRM, Cheras. Walaupun Modul Disiplin & Ketahanan Diri : Polis ini berturut² dengan Modul OBS, namun setiap dari kami tetap jalankan segala aktiviti dengan semangat walaupun kadang kala syahid di kelas…Namun, bila tiba waktu operasi di malam hari bermula dengan operasi road block di Jalan Sultan Abdul Aziz dan operasi raid di kelab malam Damansara membuatkan setiap dari kami teruja untuk merasai peluang menjadi anggota polis…Mana taknya, dengan full set uniform, kami menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan di jalan raya dan juga memeriksa air kencing GRO dan pengunjung kelab malam bagi mengesan pengambilan dadah…Namun, apa yang kesalkan, berhadapan dengan GRO yang semuanya anak Melayu di samping customer yang terdiri dari bangsa asing…Sedih melihat anak Melayu kita dalam usia muda giat mencari rezeki dengan cara begitu…Ujian menembak dengan menggunakan pistol membuatkan aku sedikit nervous namun keputusan ujian agak memberangsangkan. Alhamdulillah, lulus juga akhirnya untuk ujian menembak dan ujian bertulis…. 

Dari polis, aku menimba pengalaman di penempatan kampung untuk Modul Penempatan Daerah. Destinasi kampung aku ialah di daerah Kuala Pilah, Mukim Juasseh. 10 hari tinggal bersama keluarga angkat betul² me’release’kan aku dari kebosanan menghadap kuliah di INTAN. Pelbagai program masyarakat kampung disusun untuk mengeratkan ukhuwah dengan penduduk kampung. Di rumah mak angkat juga, aku sempat belajar buat acar buah, kuih bangkit cina, kek lapis Sarawak dan juga serunding. Namun, nak kata dah mahir tak juga. Inilah modul penentu untuk aku lulus dalam kursus DPA memandangkan aku perlu menyiapkan kajian kampung yang ala-ala tesis sebagai syarat pelengkap kursus. Dengan tajuk kajian yang berkisarkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan, aku berjaya ‘menggoreng’ tesis tersebut demi untuk memenuhi keperluan kursus.

Dalam masa bergelut dengan tesis kampung, aku terpaksa hadiri Modul Disiplin & Ketahanan Diri yang terakhir iaitu Modul Bomba di Akademi Bomba & Penyelamat Malaysia, Kuala Kubu Bharu (10/12/06 – 16/12/06). Seperti biasa, bila time kuliah, itulah peluang terbaik untuk melelapkan mata, namun bila tiba aktiviti berbentuk fizikal, aku gagahkan diri untuk habiskan semua program yang ditetapkan. Modul Bomba inilah yang paling mencabar jika dibandingkan dengan Modul Tentera & Polis. Kesempatan mengangkat hose pemadam api yang cukup berat, memakai uniform memadam api yang tebal² dan pengalaman memadamkan api yang berpunca daripada minyak dan gas dengan mengusung silinder udara seberat 25kg di belakang membuatkan aku respect dengan tugas anggota bomba. Kerja usung hose semasa aktiviti kawad hose dirasakan amat berat namun berkat semangat rakan², aku harungi jua. Hehehe….memang seronoklah bergelumang dengan silinder udara yang berat² tu…Balik hostel, tidur sure nyenyak sebab letih sangat…

Pengalaman lain?? Banyak lagi…tapi sambung next time la pulak… Gambar kenangan?? Banyak dalam kamera member². Tengah nak cari balik… Yang ada pada aku sikit sangat…Maklumlah, takde kamera sendiri…

Hmm…demikianlah lebih kurang catatan hidup aku sepanjang setahun yang lalu…Buat rakan² yang sering anggap kerja kerajaan ni mudah, ubah²lah cara pemikiran korang tu…Kerja gomen sekarang sama mencabar macam kerja swasta, cuma gajinya tak semewah swasta. Apa pun, kami golongan SYMP… 

Posted in ~ Corat-Coret ~ | | | 3 Comments

UTMKCP Tinggal Kenangan….

March 22nd, 2007 by alonganis

UTMKCP??? Hmm…bagi yang tahu tentang UTMKCP, pastinya sedikit sebanyak akan terkenang memori selama berada di sana…UTM KCP - Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang menjadi titik permulaan kepada aku dalam menempuh kehidupan di alam kampus…Dengan segala kekangan yang ada, aku tempuhi suasana pembelajaran sebagai seorang penghuni kampus UTMKCP selama tempoh 2 tahun. Namun, dalam pahit ada manisnya…Kenangan di UTMKCP akan sentiasa terbayang dan pastinya membawa 1001 kenangan jika berkunjung ke bumi Kuantan.

Tugasan kerja luar yang melibatkan aktiviti pemantauan tatatertib dan pelaksanaan ujian pengesanan dadah di kalangan staf dan pegawai di POLISAS, Semambu serta Kolej Komuniti Kuantan, Indera Mahkota 3 pada tanggal 20 - 22 Mac yang lalu membuatkan aku berkesempatan melawat Kuantan lagi setelah hampir 5 tahun meninggalkan bumi Kuantan…Sebaik sahaja memasuki bandar Kuantan, kenangan yang ada di sini terimbau kembali….

Megamall Kuantan menjadi salah satu agenda destinasi lawatan utama setiap petang sebagai tempat untuk menghilangkan bosan setelah tamat bertugas. Ketika berjalan² di dalam Megamall, aku teringat tika bergelar pelajar UTMKCP dulu, Megamall agak jarang aku kunjungi memandangkan kedudukannya yang agak jauh dan tiada perkhidmatan bas awam. Namun, Megamall tetap jadi kunjungan utama di kalangan UTMKCPians melepaskan gian untuk menonton wayang…

Untuk dinner pada 20hb, aku dan delegasi dari KPTM dibawa oleh pengurusan POLISAS untuk menikmati hidangan seafood di Tanjung Lumpur. Jika dulu, Restoran Nara di Tanjung Lumpur pernah aku kunjungi sebagai tempat kami mengadakan jamuan perpisahan di kalangan ahli silat gayung UTMKCP. Namun, pada malam itu, aku diraikan sebagai tetamu POLISAS. Tempatnya masih sama macam dulu…tetap meriah tika di malam hari di kalangan penggemar seafood

Posted in Uncategorized | | | 0 Comments

Pengalaman, Perjuangan & Perjalanan Masa Depan…

December 31st, 2005 by alonganis

31 Disember 2005 / 23:49 (Minit-minit terakhir menjelang tahun baru 2006…)

Akhirnya, setelah menyepi buat beberapa ketika, aku kembali berpeluang untuk berkongsi coretan di ruangan blog ini. Biarpun keletihan masih terasa, namun aku gagahkan jua semangat yang membara kerana aku sendiri tidak pasti bila lagi aku berpeluang untuk terus bermonolog sendiri di sini. Kepada sahabat-sahabat yang sudi dan tidak jemu membaca catatan peribadiku ini, kuucapkan jutaan terima kasih. Namun, ingatlah…setiap coretanku ini tidak semestinya baik untuk kalian kerana aku hanyalah seorang insan yang sering alpa dan segala yang buruk adalah atas kelemah diri. Apa yang aku harapkan, yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan…

Hmmm…akhirnya, perjuangan menempuh 3 peringkat ujian saringan Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik (PTD) telah selamat aku tempuhi. Alhamdulillah, ternyata rezeki aku dalam sektor awam telah terbuka kini. Apa pun, semuanya berkat doa dari keluarga (Umi, Ayah, Tok, Wan dan semua), sahabat-sahabat sekalian dan juga guru-guru serta pensyarah-pensyarah yang telah banyak mencurah ilmu selama ini. Tanggal 29hb November, aku dimaklumkan telah berjaya menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir & Diplomatik. Keputusan yang ternyata amat mengejutkan. Setelah menghadiri sesi temuduga pada tanggal 27 Oktober lalu, aku langsung tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menjawat jawatan yang dianggap elit ini. Justeru, keputusan yang kuterima melalui internet, aku abaikan. Namun, sebaik sahaja menerima surat tawaran pada 7 Disember, segala-galanya terasa begitu syahdu dan amat terharu sekali. Menurut surat tersebut, aku dikehendaki melapor diri untuk Modul PTD Unggul bertempat di IKWAS (INTAN Kampus Wilayah Selatan), Kluang, Johor pada tanggal 19 Disember - 29 Disember.

Dalam kebingungan yang teramat, aku cuba selesaikan segala urusan kerja di GoldMount Forest Berhad dengan sebaiknya. Terasa sedih dan sayu untuk berhadapan dengan barisan bos (Dato’ Bari, Datin Jawiyah & Captain Muzafar) untuk memohon pelepasan jawatan di GoldMount Forest Berhad amnya dan GoldMount Aviation & Adventure Club khususnya. Keserasian tugas dan layanan yang teramat baik dari semua termasuk 3 barisan bos yang begitu mesra membuatkan aku tidak sampai hati untuk memohon pelepasan jawatan secara mengejut ini. Namun, aku yakin dengan keputusan yang dibuat dan sesungguhnya aku yakin GoldMount Forest Berhad akan lebih bertenaga dengan kehadiran bakal penggantiku yang ternyata lebih hebat. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ‘dia’ yang sudi menggantikan daku di GMFB ini.

Sesungguhnya pengalaman berkursus selama lebih kurang 10 hari di Kluang ternyata amat berharga. Namun, ada ketikanya terasa diri ini begitu kerdil dan tiada kualiti sebagai PTD setelah berhadapan dengan rakan-rakan PTD sesi 2/2005 yang ternyata hebat-hebat belaka. Idea & bakat kepimpinan yang ditunjukkan begitu terserlah jika dibandingkan dengan diriku yang masih setahun jagung di dalam alam pekerjaan ini. Namun, aku terus memotivasikan diri untuk mencuba sebaik mungkin. Yang penting, ikhlas berkhidmat untuk pertiwi…

p/s : Salam Zulhijjah 1426H & Salam Tahun Baru 2006

Posted in ~ Renungan Peribadi ~ | | | 0 Comments

Walimah…Cuti Sekolah…

November 25th, 2005 by alonganis

Sabtu…1153

24 Syawal 1426 / 26 November 2005

Musim cuti sekolah kembali lagi…Tak dapat aku bayangkan keseronokan bercuti ketika masih di zaman persekolahan dulu. Namun, kini segalanya telah berubah. Zaman persekolahan baik di sekolah rendah, menengah dan juga universiti telah kutinggalkan. Kini, rutin hidupku hanya bertumpu pada soal tanggungjawab seharian sebagai graduan yang sedang meniti langkah-langkah baru untuk meningkatkan kemahiran dan prestasi kendiri demi untuk kehidupan peribadi dan juga prestasi syarikat.

Kalau dulu, musim cuti sekolah sentiasa aku nantikan untuk kepenuhi dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga. Bercuti ke tempat-tempat peranginan, pulang bertemu sanak saudara di kampung dan seterusnya membeli-belah untuk keperluan sekolah yang baru untuk sesi persekolahan berikutnya. Namun, situasi tersebut berubah sama sekali kini. Alhamdulillah, kali ini musim cuti sekolah aku penuhi dengan menghadiri jemputan walimah dari rakan-rakan sekolah dan sekampus dulu. Hmm…ramai betul yang telah mendapat seru untuk melangkah ke alam rumah tangga yang penuh dengan pelbagai cabaran dan pengalaman baru.

Bagi yang telah atau akan menempuh alam rumah tangga ini, aku nasihatkan dan doakan agar kalian semua berbahagia dan tabah menghadapi segalanya. Mungkin aku bukanlah orang yang sesuai untuk berbicara atau menjadi penasihat kepada soal ini, namun dari apa yang aku fahami dan hayati selama ini, sabar dan berfikir menggunakan akal dari hati dan perasaan adalah kunci paling mujarab untuk atasi segala permasalahan. Justeru, untuk para isteri dan suami sekalian (khususnya rakan-rakanku yang bakal bergelar status mulia ini), hiasi & kukuhkan peribadi kalian dengan paduan akal dan pertimbangan waras. Banyakkan berdoa ke hadrat Allah agar dipermudahkan segala urusan, diberkati segala usaha dan dirahmati sepanjang usia.

Buat Siti Fatimah & Wan Mohd Bukhaiqy (yang telah melangsungkan walimah 19 & 20 Nov lalu), syukran jazilan atas tanda ingatan kalian menjemput aku memeriahkan majlis kalian. Hmmm…memang terkejut jugak bila aku diberitahu oleh Kak Timah sendiri bahawa beliau akan diijabkabulkan dengan Wan. Kedua-duanya ex-student SMKAK. Aku memang rapat jugak dengan Kak Timah (gelaran sejak sekolah) tapi dengan Wan memang jarang bercakap (rasa cam tak pernah tegur) walaupun rumah dalam satu daerah. Apa pun tahniah untuk kalian berdua. Semoga berbahagia kedua-duanya.

Tak lupa juga buat Nurul Huda Ramli (x-SMKAK) yang turut melangsungkan perkahwinan pada 19 Nov lalu. Tahniah. Maaf sebab tak berkesempatan untuk berkunjung. Seterusnya, buat Mardiana (x-SKJ) yang akan melangsungkan perkahwinan pada 3 Dis ni, tahniah diucapkan. Insya allah, kalau masih dipanjangkan usia, aku akan berkunjung ke majlisnya minggu depan.

Buat rakan-rakan lain yang dalam perancangan untuk melangsungkan majlis dalam masa terdekat ni, diucapkan selamat merancang dan berbahagia. Hmm…pendek kata kalau dah tergerak hati sangat-sangat untuk memikul tanggungjawab bergelar suami/isteri, maknanya dah sampai seru la tu. So, cepat-cepatla dilangsungkan dan jangan lupa jemput. Insya allah, kena masa dan perancangan, pasti akan dipenuhi segala jemputan yang dilayangkan.

p/s : Sekadar tumpang gembira atas walimah sahabat-sahabat. Kerana diri ini belum mampu untuk memikul tanggungjawab dalam berumahtangga. Masih banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum merancang memiliki keluarga sendiri. Kerana aku rasakan belum terbayar segala bakti yang telah dicurahkan oleh kedua-dua insan tersayang, Ayah & Ummi selama 23 tahun aku wujud di alam yang sementara ini. Justeru, aku perlu tersu berusaha untuk memajukan diri untuk persediaan masa depan dan kebahagiaan keluarga dan keluarga akan datang… ;-)

Posted in Uncategorized | | | 1 Comments

Alhamdulillah…Syukur

October 19th, 2005 by alonganis

16 Ramadhan 1426 / 20 Oktober ‘05… (0015)

Alhamdulillah…bulan ke 9 dalam tahun Islam muncul kembali. Masuk hari ni, cuma tinggal lebih kurang 2 minggu lagi untuk setiap dari kita menghayati, muhasabah dan beramal dengan sekhusyuk-khusyuknya dan penuh tawadhu’ untuk memperbaiki hablu minallah… Insya Allah…

Dah lama juga kubiarkan blog ini sepi tanpa sebarang coretan mahupun pedoman bersama. Kali terakhir sebelum majlis konvo pada penghujung Ogos yang lalu. Hampir 2 bulan lamanya. Bukan masalah ketandusan idea, namun tugasan harian yang semakin menimbun ditambah dengan serahan amanah sebagai seorang yang telah digaji membuatkan aku terpaksa menetapkan ‘priority’ dalam rutin harian. Justeru, di kesempatan yang amat terbatas ini, aku ingin merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran atas anugerah Al-Malik yang tidak terhitung kemurahan-Nya.

Alhamdulillah, saat-saat kedatangan bulan Ramadhan kali ini menbawa 1001 kenangan manis buatku sekeluarga. Bermula daripada majlis konvokesyen yang telah berlalu, menghadiri program Assesstment PTD di INTAN Sg Petani pada tanggal 7-9 September, sesi temuduga di sebuah kilang sehinggalah kejayaan atas jawatan yang aku sandang sejak 3 minggu yang lalu, semuanya telah kucatat rapi di dalam catatan harian peribadiku. Seolah-olah inilah keberkatan di sebalik kemunculan Ramadhan yang tiba. Dan pada minggu lepas, aku dikejutkan pula dengan keputusan kejayaan Assesstment PTD yang lalu. Alhamdulillah…syukran Ya Allah…syukran…

Terasa sebak di dada tatkala menerima berita kejayaan tersebut sedangkan aku langsung tidak menyangka bakal tersenarai sebagai salah seorang calon PTD yang bakal ditemuduga pada tanggal 27 Oktober ini. Sesungguhnya kehebatan calon-calon lain yang lebih berkaliber semasa sesi PAC yang lalu membuatkan aku pasrah atas apa jua keputusan yang bakal diumumkan. Namun, ternyata, berkat doa dari keluarga, sahabat-sahabat dan semua, aku berjaya pada peringkat kedua ujian PTD ini dan bakal bergelut dengan peringkat terakhir (sesi temuduga) minggu depan. Ternyata kasih sayang Allah pada setiap hamba-Nya memang tidak terkira walaupun kita sebagai hamba-Nya seringkali alpa bila sesuatu kesenangan telah dikecapi. Namun, syukurlah kerana dengan kejayaan ini, aku tersedar kembali hakikat kemurahan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang sering kita tersalah tafsir bila mana tiba-tiba kita diuji dengan secebis kesusahan duniawi.

Buat semua sahabat, jangan sekali-kali berputus asa dengan setiap takdir yang telah tersurat kerana kita hanyalah perancang kecil yang penuh dengan kedhaifan sedangkan Dia perancang Maha Adil, Hebat dan Maha Bijaksana dalam menentukan setiap qada’ dan qadar hamba-Nya. Di sebalik perancangan kita, pastinya perancangan Al-Khaliq yang maha sempurna dan muhasabahlah setiap ketentuan itu sebagai suatu kelebihan yang tersirat di sebalik rasa kecewa sementara yang kita rasai.

Posted in Uncategorized | | | 1 Comments

« Previous Entries

Categories

Archives

Meta